Assalamualaikum dan hai semua..ini adalah chapter 1 bagi catatan pra-graduasi saya sempena meraikan graduasi saya pada minggu hadapan. Saya akan menulis tentang segala pengalaman yang saya ingat sepanjang pengajian saya di Universiti Malaya. Universiti ini, bagi saya, memang mempunyai banyak kelainan berbanding universiti-universiti lain. Kampus ini telah sangat banyak mengubah persepsi serta pemikiran saya selama 4 tahun setia bersama dengannya. Saya akan menulis dengan tona yang neutral serta tulus.
Ahh..zaman sebelum ke UM..sebelum saya meneruskan pengajian di Universiti Malaya, saya telah melalui beberapa peringkat yang mulanya nampak agak membosankan namun saya telah didedahkan dengan beberapa konflik dalaman. Inilah pertama kali saya cuba untuk membuat keputusan sendiri. Keputusan yang bakal memberi kesan yang besar. Bukan setakat memberi kesan kepada saya, malah kepada orang lain, terutamanya keluarga.
Semasa saya masih di Koleh Matrikulasi Pahang, saya terlihat satu notis di papan kenyataan yang menyatakan bahawa saya telah dipilih untuk menjalani satu sesi temuduga anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA). Saya dah lupa maklumatnya yang terperinci namun apa yang saya ingat, temuduga itu bertujuan untuk memilih calon pelajar yang sesuai untuk ditawarkan biasiswa melanjutkan pelajaran di Indonesia. Kursus yang ditawarkan adalah berkaitan dengan perubatan. Pada masa itu, saya berfikir bahawa kursus tersebut mungkin doktor, ataupun farmasi kerana pengetahuan saya berkaitan hal-hal akademik pada masa itu masih lagi cetek. Apalah sangat yang nak difikir kerana jadual belajar di Matrikulasi itu sendiri terlalu padat. Nak baca paper pun payah.
Jumlah pelajar yang ditawarkan itu tidaklah ramai sangat. Yang saya pasti, hanya beberapa orang. Ada di antaranya yang saya kenal iaitu Mimi dan Fadzlina. Jadi selepas melihat notis itu, macam student-student yang taat pada ibu bapa seperti orang lain (haha), saya terus bercerita tentang perkara ini kepada kedua ibu-bapa saya. Ternyata ibu saya amat gembira apabila mengetahui cerita yang saya ditawarkan untuk menjalani temuduga dalam bidang perubatan. Pada masa itu, ibu saya masih bergelar seorang ketua jururawat (ibu saya dinaikkan pangkat menjadi Matron hanya selepas tahun 2008). Memandangkan beliau mahu anaknya juga mengikuti jejak langkahnya (menceburi bidang perubatan), ibu saya terus memberi dorongan untuk saya mengikuti temuduga tersebut. Pada masa itu, saya masih berperangai mengikut segala saranan yang saya fikir elok maka saya bersetuju sahaja.
Tidak ada apa sangat yang menarik untuk diceritakan tentang sesi temuduga tersebut. Yang pasti, segalanya berjalan dengan lancar. menjelang hari-hari akhir semasa belajar di Matrikulasi, saya mula berfikir tentang masa depan saya. Pada masa itu, saya masih dipengaruhi dengan cadangan dan syor ibu-bapa saya tentang pemilihan kursus semasa mengisi borang UPU serta minat saya sendiri. Hasilnya, senarai kursus yang saya pilih semasa mengisi borang UPU adalah bercampur-campur. Antara kursus yang saya pilih adalah Doktor Perubatan, Doktor Pergigian, Sains Forensik, Sains Mikrobiologi dan Farmasi.
Dari dulu lagi saya berminat di dalam bidang kimia namun apabila mula melangkah ke Matrikulasi, pencapaian saya di dalam bidang biologi adalah lebih tinggi berbanding kimia, maka saya berfikir untuk menukar haluan. Matematik memang dah out lama lagi. Saya benci matematik sampai ke akhir hayat. Tak pernah wujud dalam kamus hidup hahahaha.
Zaman Matrikulasi adalah zaman saya tidak berapa fokus tentang belajar disebabkan saya kurang motivasi dan malas. Hasilnya, saya hanya dikurniakan CGPA 3.54 kerana matematik saya hanya dapat B-. Yelah kalau dah benci, berapa sangat yang mampu saya dapat. Disebabkan kami perlu mengemaskini borang UPU, saya telah revise semula segala kursus pilihan berdasarkan pencapaian Matrikulasi (ini semua salah matematik la hahahaha). Berikut adalah pilihan kurus UPU mengikut turutan:
1. Doktor Perubatan USM (masih dipengaruhi oleh cadangan ibu bapa)
2. Sains Forensik (Tertarik dengan bidang forensik semenjak wakil UKM memberikan taklimat tentang kursus ini di Matrikulasi)
3. Sains Pergigian
4. Doktor Perubatan (Universiti lain, saya tidak ingat)
5. Genetik dan Biologi Molekul, UM (yang ini saya isi saja-saja sebab pencapaian Matematik saya rendah)
Yang menariknya saya kurang fokus semasa mengisi borang UPU kerana pada masa itu saya masih berangan untuk ke Indonesia. Yelah orang dapat offer, berangan la lebih sikit. Semasa cuti panjang sebelum musim akademik IPTA, saya duduk di rumah. Surat tawaran MARA sampai di rumah, bermakna saya lulus temuduga. Ayah dan ibu bukan main gembira lagi. Yelah anak kena offer jadi doktor. Parents mana tak gembira ye dok?
Namun saya rasa perjalanan proses untuk menjadi seorang doktor itu sangat susah, seperti Tuhan ingin memberitahu sesuatu. Pertama, sebenarnya surat tawaran itu hampir tidak dihantar ke rumah kerana posmen menyangka kami tiada di rumah. Sengal betul. Saya terpaksa kejar posmen tu yang dah berada di kampung lain kerana borang itu ada tarikh tutup yang spesifik bagi menghantar maklum balas sama ada menerima tawaran atau tidak.
Kedua, saya membuat terlalu banyak kesilapan semasa mengisi borang. Banyak betul tulisan yang terpaksa dipotong. Borang tu dah jadi comot sangat sampai saya terpaksa liquid secara intensif. Borang yang comel pun boleh jadi hodoh.
Ketiga, saya perlu pergi ke Pulau Pinang untuk menghadiri satu sesi peperiksaan sebagai satu lagi syarat untuk melayakkan saya mendapat tawaran doktor tersebut. Saya masih ingat, peperiksaan itu dijalankan di Kepala Batas, Pulau Pinang. Saya masih menyimpan kad peperiksaan tersebut. Pada masa itu, saya ditemani oleh abang saya dan ibu saya. Kami menginap di Hotel Seri Malaysia dan makan angin sebentar di Balik Pulau. Kenapa sebab ketiga ini susah? Sebab modul peperiksaan itu ada MATEMATIK. Bangang. Aku mana reti matematik. Aku benak.
Keempat, aku rasa serabut semasa mengisi borang. Mungkin itu sebab aku terlalu banyak membuat kesilapan semasa mengisi borang. Gila banyak benda yang nak kena isi. Dahlah kena buat Medical Check-up yang agak rumit. Macam-macam prosedur. Kena isi borang perjanjian, cari penjamin, banyak sijil yang perlu disahkan (syarat untuk dapatkan pengesah pun ketat), dan tergesa-gesa untuk ke bangunan MARA untuk hantar borang, dan kena pergi kursus BTN. Saya rasa macam isi borang untuk tukar warganegara. Saya rasa kurang selesa dan malas untuk terlalu komited untuk melanjutkan pelajaran sebagai doktor.
Bersambung di Part 2..
-Syah Indra-
0 comments:
Post a Comment